- Dipublikasikan: 21 March 2011
- Dibaca: 1858 kali.
Di
antara bencana besar yang menimpa kaum Muslimin sejak abad-abd pertama
ialah tersebar luasnya hadis-hadis Dha’if (lemah) dan Maudhu’ (palsu)
di kalangan mereka. Tidak ada yang terkecuali temasuklah kalangan ulama
kecuali segelintir yang dikehendaki Allah, di antaranya para imam
hadis dan Nuqqaad (Para Pengkaji hadis) seperti Imam al-Bukhari, Ahmad,
Ibn Ma’in, Abu Hatim ar-Razy dan ulama seperti mereka.
Penyebaran
meluas hadis dhaif dan maudhu’ tersebut mengakibatkan banyak kesan
negatif, di antaranya ada yang berkaitan masalah-masalah aqidah yang
bersifat ghaib dan ada juga yang berkaitan perkara-perkara Tasyri’ (Syari’at).
Adalah hikmah Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui, bahawa Dia tidak membiarkan hadis-hadis yang direka oleh orang-orang yang benci terhadap agama ini merebak ke tubuh kaum
Muslimin tanpa mengutus orang yang akan mendedahkan hakikat sebenarnya
dan menjelaskan kepada manusia kecacatan-kecacatannya . Mereka itulah
para ulama Ahli hadis dan pembawa panji-panji sunnah Nabawiyyah yang
didoakan Rasullullah dalam sabdanya, “Semoga
Allah menganugerahi nikmat seseorang yang mendengarkan perkataanku
lalu mencernanya, menghafal dan menyampaikannya. Betapa banyak orang
yang membawa ilmu tetapi tidak lebih faqih (untuk dapat menghafal dan
menyampaikannya) dari orang yang dia sampaikan kepadanya (kerana ia
mampu menggali dalil sehingga lebih faqih darinya).” (HR.Abu Daud dan at-Turmudzi yang mengatakannya shahih).
Para imam tersebut –semoga Allah menganugerahkan kebaikan
kepada mereka – telah menjelaskan kedudukan kebanyakan hadis-hadis
tersebut dari segi kesahihan, kelemahan atau pun kepalsuannya dan telah
membuat asas-asas yang kukuh dan kaedah-kaedah yang mantap di mana
siapa saja yang menekuni dan mempelajarinya secara mendalam nescaya
akan dapat mengetahui kualiti dan kedudukan setiap hadis walaupun
mereka (para imam tersebut) tidak memberikan penilaian ke atas
hadis-hadis tersebut. Itulah suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu Ushul Hadis atau Llmu Mushthalah Hadis.
Para
ulama generasi terakhir (al-Muta`akkhirin) telah mengarang beberapa
buku yang khusus untuk menyenaraikan hadis-hadis dan menjelaskan
kedudukannya , di antaranya yang paling masyhur dan luas bahasannya
adalah kitab al-Maqaashid al-Hasanah Fii Bayaan Katsiir Min al-Ahaadiits al-Musytahirah ‘Ala al-Alsinah karya al-Hafizh as-Sakhawy. Demikian juga buku seumpamanya seperti buku-buku Takhriijaat
(untuk mengeluarkan jalur (sanad) hadis dan kualitinya) yang
menjelaskan kedudukan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab
yang dikarang oleh Ahli Hadis (Ulama hadis) dan kitab-kitab yang berisi
hadis-hadis yang tidak ada asalnya seperti buku Nashb ar-Raayah Li Ahaadiits al-Bidaayah karya al-Hafizh az-Zaila’ii, al-Mugny ‘An Haml al-Asfaar Fii al-Asfaar Fii Takhriij Maa Fii Ihyaa` Min al-Akhbaar karya al-Hafizh al-‘Iraqi, at-Talkhiish al-Habiir Fii Takhriij Ahaadiits ar-Raafi’iy al-Kabiir karya al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani, Takhriij Ahaadiits al-Kasysyaaf karya Ibn Hajar juga dan Takhriij Ahaadiits asy-Syifaa` karya Imam as-Suyuthi, semua buku tersebut sudah dicetak dan diterbitkan.
Sekalipun
para imam tersebut –semoga Allah menggandakan kebaikan kepada mereka-
telah meratakan jalan kepada generasi setelah mereka, baik dari
kalangan para ulama ataupun para penuntut hingga mereka mengetahui
kualiti setiap hadis melalui buku-buku tersebut, akan tetapi –amat
malang sekali- kami perhatikan mereka sebaliknya enggan menelaah
buku-buku tersebut. Akibatnya mereka jahil terhadap kedudukan
hadis-hadis yang telah mereka hafal dari guru-guru mereka atau
hadis-hadis yang mereka baca dari buku-buku yang tidak menitik beratkan
kesahihan sesuatu hadis .Oleh itu , kita sering mendengar ceramah dari
sebahagian Mursyid (penyuluh), atau ceramah dari seorang ustaz atau khuthbah seorang khathib yang meriwayatkan hadis-hadis dha’if
dan maudhu’ tersebut, dan ini amat berbahaya kerana dikhuatiri mereka
semua akan terkena ancaman sabda beliau s.a.w., yang berbunyi, “Barangsiapa yang telah berdusta terhadapku secara sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalam neraka.” (Hadis Sahih Mutawatir)
Walau
pun mereka tidak berdusta dengan sengaja, namun hakikatnya mereka tetap
berdosa kerana telah meriwayatkan hadis-hadis dari sumber yang mereka
yakini terdapat hadis yang dha’if atau pun hadis palsu. Mengenai hal
ini, terdapat isyarat dari hadis Rasulullah yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu berdusta manakala ia menceritakan semua apa yang didengarnya (tanpa disaring lagi-pen.,).” (HR.Muslim) dan suatu hadis lain dari riwayat Abu Hurairah.
Telah diriwayatkan bahawa Imam Malik pernah berkata, “Ketahuilah
bahwa tidaklah selamat seorang yang menceritakan semua apa yang
didengarnya… ia bukan imam bilamana menceritakan semua apa yang
didengarnya.”
Imam Ibn Hibban berkata di dalam kitab Shahihnya, “Pasal:
Mengenai dipastikannya masuk neraka, orang yang menisbatkan sesuatu
kepada al-Mushthafa, Rasulullah s.a.w., padahal ia tidak mengetahui
kesahihannya,” setelah itu, beliau mengetengahkan hadis Abu Hurairah dengan sanadnya secara marfu’, “Barangsiapa
yang berkata dengan mengatasnamakanku padahal aku tidak pernah
mengatakannya, maka hendaklah ia mempersiapkan tempat duduknya di dalam
neraka.” Sanad hadis ini hasan dan makna asalnya terdapat di dalam kitab ash-Shahiihain dan kitab-kitab muktabar yang lain.
Selanjutnya,
Ibn Hibban berkata, “Pembahasan mengenai hadis yang menunjukkan
kesahihan hadis-hadis yang kami isyaratkan pada bab terdahulu,”
kemudian beliau mengetengahkan hadis dari Samurah bin Jundub dengan
sanadnya, dia berkata, Rasulullah s.a.w., bersabda,
“Barangsiapa
yang membicarakan suatu pembicaraan mengenaiku (membacakan satu hadis
mengenaiku) di mana ia terlihat berdusta, maka ia adalah salah seorang
dari para pendusta.”
(Hadis
ini sahih, dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam mukaddimahnya dari
hadis Samurah dan al-Mughirah bin Syu’bah secara bersama-sama). Ibn
Hibban berkata, “Ini adalah hadis yang masyhur.” Kemudian dia berkata
selanjutnya, “Pembahasan mengenai hadis kedua yang menunjukkan sahihnya
pendapat kami,” lalu dia mengemukakan hadis Abu Hurairah yang pertama
di atas.
Dari
apa yang telah kami sampaikan di atas, jelaslah bagi kita bahawa tidak
boleh menyebarkan hadis-hadis dan meriwayatkannya tanpa terlebih dahulu
melakukan Tatsabbut (penilaian) mengenai kesahihannya sebab
orang yang menyebarkan hadis tanpa menilainya bermakna telah melakukan
pendustaan terhadap Rasulullah. Sabdanya s.a.w, “Sesungguhnya
berdusta terhadapku bukanlah berdusta terhadap salah seorang di antara
kamu; barangsiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja, maka
hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalami neraka.” (HR.Muslim), wallahu a’lam.
(Mukaddimah
Syaikh al-Albani di dalam bukunya Silsilah al-Ahaadiits adl-Dla’iifah
Wa al-Mawdluu’ah Wa Atsaruha as-Sayyi` Fi al-Ummah, jld.I, h.47-51
dengan sedikit perubahan dan pengurangan)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar